Monday, May 25, 2009

22 Tahun Dalam Kenangan..




Sejuta puji dan puja buat Dzat Yang Maha Agung yang mencipta manusia dari titisan mani yang hina, menyambung nafas manusia dari detik ke detik, saat ke saat….


Sesungguhnya setiap waktu yang berlalu sudah pasti tidak mampu dikembalikan sesaatpun walau diiringi seribu satu sesalan. Benarlah kata hukama’ bahawa apa yang paling jauh adalah setiap waktu yang telah berlalu kerana kita tidak mampu kembali padanya walau waktu tersebut sedetik cuma.


Alhamdulillah, sehingga saat ini Allah masih menyambumg rantaian hayat saya sehingga mampu menginjak ke tahun yang ke-23. Menyoroti kembali sejarah hidup lebih 22 tahun yang telah saya lalui sambil membuat koreksi, terbit persoalan2 yang memerlukan pertimbangan yang serius; Apakah sejarah yang telah dibina sepanjang 22 tahun diberi nikmat kehidupan? Apakah legasi yang bakal ditinggalkan dalam tempoh yang berbaki?


Sesungguhnya umur yang berlalu menjadi pengalaman yang membentuk keperibadian dan kecenderungan seseorang. Teringat saya sewaktu berada di Sekolah Berasrama Penuh yang memakan lebih separuh usia remaja saya, yang memberi impak yang sangat besar dalam hidup saya. Seawal tingkatan satu saya diperkenalkan dengan usrah, walaupun ketika itu usrah hanya merupakan pertemuan mingguan yang biasa sahaja sifatnya. Itulah usrah dan naqib pertama saya, dan saya sangat hairan kenapa saya masih mengingati nama dan raut wajah naqib saya itu walaupun hampir 10 tahun tidak bertemu dan berhubung sedangkan ramai diantara rakan2 batch saya yang saya sudah lupa nama dan wajahnya walau hanya beberapa tahun berpisah. Malah dalam diam2 saya menangisi perpisahan dengan naqib saya walaupun berkenalan dalam tempoh setahun sahaja.


Ketika di sekolah menengah, jadual hidup saya rasakan cukup teratur, mungkin kerana diatur sebegitu. Bangun subuh berjamaah, kemudian membaca ma’thurat dan diikuti bacaan hadis. Selepas sarapan, berkejar untuk “roll-call” kemudian masuk kelas untuk sesi pembelajaran. Tengahari, solat Zohor berjamaah selepas makan dan masuk kelas “prep” atau tuisyen bagi tahun2 menghadapi "exam" besar. Balik kelas, solat Asar berjamaah dan menghadiri majlis ta’lim sebelum maghrib. Antara maghrib dan isya’ dimestikan menghadiri kuliah maghrib, dan selepas isya’ sekali lagi perlu ke kelas “prep” sehingga 11 malam. Begitulah rutin harian saya sepanjang 5 tahun dan saya tidak mengerti mengapa saya hampir tidak merasai kepenatan sepanjang tempoh tersebut sedangkan sekarang saya merungut tidak cukup waktu walhal Allah mengurniakan tempoh rehat yang sangat banyak berbanding dahulu.


Sewaktu di tingkatan 2 saya dilatih menjadi naqib, tugas kami cuma belajar memberi tazkirah sebelum maghrib kepada adik2 tingkatan 1. Form 3 kami tidak lagi perlu menghadiri usrah, cuma diserap sebagai pembantu naqib. Form 4, kami diberi mandat sepenuhnya untuk menjadi naqib kpd pelajar Form 2 dan semasa di Form 5 kami dilantik menjadi exco BPI (Badan Dakwah) sekaligus menjadi naqib kepada pelajar form 1. Begitulah tradisi yang saya rasakan berlangsung dengan cukup harmoni apatah lagi setiap tahun, kami menerima kehadiran pelajar2 form 4 baru yang sebahagiannya datang dari sekolah2 agama. Setiap gerak kerja dakwah dilakukan dengan cukup bersemangat walaupun ketika itu saya tahu bahawa ilmu2 agama saya sangat dangkal, kemahiran hampir tidak ada, masih belum reti berhujjah dengan nas dan dalil. Nama2 seperti Mustafa Mashur, Saaid Ramadhan al-Buuti atau Abdul Karim Zaidan langsung tidak pernah kedengaran. Ketika itu saya hanya kenal hasil tangan daripada nama2 seperti Enid Blyton, Charles Dickens dan John Grisham. Bekalan yang ada hanyalah semangat dan keyakinan bahawa kerja2 yang baik akan menjadi saham saat dihisab didepan Allah.


Saya sangat optimis bahawa perwatakan dan kecenderungan yang saya miliki adalah berasaskan tarbiyah yang saya terima secara tidak langsung daripada pengalaman saya terutamanya di sekolah kerana dengan semangat itulah saya memulakan pencarian saya di UIA, bermula dengan pencarian kelas2 ilmu dan usrah. Selepas itu diangkat membarisi kepimpinan PERKIM CLUB di matrik UIA, kemudian Nuqaba’ Executive Council, serta beberapa jawatan lain, dan sehingga sekarang di MA’RUF CLUB. Dengan takdir Allah, dengan semangat inilah saya dipertemukan dengan pemuka2 dakwah, pemuda-pemudi yang menjadi mata rantai-mata rantai perjuangan Islam. Kemudian saya diperkenalkan dengan empayar dakwah yang luas yang sangat mengujakan. Menyedari hakikat bahawa kerja2 dakwah itu tidak pernah surut dan tidak akan ada titik noktahnya, sebagaimana imam Hassan al-Banna menyatakan bahawa kewajipan yang kita ada lebih banyak daripada waktu yang kita miliki, apa yang saya khuatiri ialah 'consistency' saya berpencak di medan. Mohon didoakan moga2 kita semua dikekalkan atas jalan-Nya sehingga tiba ke detik terakhir hidup kita.


Pada akhirnya, kembali saya berfikir apakah legasi yang bakal saya tinggalkan? Kalaulah saya menjadikan kekangan waktu menjadi alasan, maka bagaimanakah Syed Badiuzzaman an-nursi masih mampu menghasilkan kitab disaat berada di tengah medan perang kerana khuatir ilmu2 tidak akan memberi manfaat kpd orang lain sekiranya beliau terbunuh. Teringat kata2 salah seorang guru di sekolah saya, oleh sebab beliau mengajar Bahasa Jepun, kami memanggil beliau sensei Ahmad. Beliau menyebut satu ungkapan dalam bahasa Jepun yang bermaksud:


jadilah kamu manusia yang pada saat lahirmu kamu menangis sedangkan semua orang disekelilingmu ketawa kerana gembira menyambut kelahiranmu. Dan kamu tersenyum gembira di saat kematianmu sedangkan semua orang menangis kerana bersedih dengan pemergianmu..”

Buat sahabat2 yang tidak jemu2 menyampaikan ucapan selamat, moga setiap setiap ucapan kalian menjadi doa yg membawa kebaikan.. Moga umur kita sentiasa diberkati agar keberkatannya melimpah kepada orang lain..jazakallah

Wednesday, May 20, 2009

Banner Ma'ruf


Ni banner Ma'ruf Club yang baru siap.. kredit untuk Shahidat, co-chairperson IPM secretariat