Kalau ada yang bertanya, "Apakah yang anda rasa kriteria yang paling utama menjadikan dakwah itu berkesan?" Ramai yang datang dengan teori dan prinsip yang berbeda, mencedok pandangan2 dari pelbagai tokoh dari perspektif yang pelbagai . Lazimnya, pandangan Syeikh Abbas as-Sisi pastinya menjadi rujukan ‘favorite’ bagi kita pendokong2 gerakan dakwah kampus. Namun teori, prinsip dan pandangan yang mana agak2nya dirasakan terpakai dalam ruang lingkup kampus dan dari sisi kemahasiswaan. Sesetengah ahli gerakan dakwah yang obses dengan siyasah pasti akan melihat pencapaian politik sebagai kayu ukur. Sebetulnya, pertimbangan tersebut agak ‘vulnarable’ sifatnya. Adakah dakwah yang efektif hanya boleh dilakukan dengan kekuasaan sahaja? dan sekalipunpun berada di puncak kuasa (konteks mahasiswa), belum tentu dakwah tersebut mampu berlangsung dengan baik.
Perlu kita cermati bahawa realiti cabaran dakwah kampus hari ini sebenarnya bukan lagi berlegar dibalik tirai penguasaan politik kampus semata2. Jika lewat 70-an dan 80-an menyaksikan corak pemikiran sosialis dan nasionalis mendominasi kampus-kapus pengajian tinggi, era 90-an pula menyaksikan kampus mula bertukar wajah. Mahasiswa-mahasiswi mula menunjukkan minat terhadap kelompok Islamis dalam kampus. Namun, pasang surut terus berlaku, tahun2 mutakhir menyaksikan gerakan dakwah kampus tidak lagi diberi tempat yang baik oleh komuniti mahasiswa. Sekadar memakai label Islam belum tentu mampu membawa gerakan dakwah tersebut kemana2.
Mujur juga perubahan iklim politik nasional saya rasakan dapat memberikan sedikit kredit kepada gerakan dakwah kampus. Walau bagaimanapun, sesetengah orang melihat gerakan2 dakwah pula seolah2 kurang responsif setelah agak lama direhatkan. Prestasinya masih berada pada tahap yang kurang memuaskan, sukar untuk dipastikan bilakah ‘zaman gelap’ ini akan berlalu.
Dalam satu kajian yang dijalankan keatas lebih 4000 responden mewakili mahasiswa UIA, majoriti menunjukkan bahawa mereka lebih menyenangi pemimpin (baca: daie) yang bersikap mesra massa dan lebih mengambil berat tentang kebajikan mereka berbanding sekadar mempunyai tahap epistemologi dan keIslaman yang tinggi. Sekiranya pandangan ini diambil kira, maka saya berpendapat bahawa teori ini lebih2 lagi terpakai di kampus yang tidak begitu Islamik persekitarannya (faktor demografi lain perlu juga diambil kira).
Massa di kampus umumnya masih lagi memandang pendokong2 gerakan dakwah kampus sebagai kelompok yang eksklusif, anti-sosial dan ekstrim. Justeru, suka saya mengingatkan kepada aktivis2 dakwah kampus bahawa kita sebenarnya sedang dinilai dan diperhatikan. Selagi mana kita gagal untuk mengikis stigma ini, selagi itulah dakwah kita gagal menyentuh massa.
No comments:
Post a Comment